Disember 2006


Semalam ada pesta keraian untuk jajahan takluk negeriku. Makan-makan percuma. Ada cabutan bertuah. TV plasma. Maka turunlah segala pembesar-pembesar negeri, panglima-panglima kanan dan kiri sampailah kepada rakyat marhaen dan macai-macai seperti aku ini. Bergelak ketawa dan bersalam-salaman, berbual-bual mesra sambil masing-masing menyimpan harapan di dalam hati agar dapatlah menang TV plasma tu.

Acaranya biasa-biasa aje. Takde yang luarbiasa. Aku datang bukan untuk tengok persembahan pun. Bukan untuk makan, malah. Hanya semata-mata kerana diajak oleh seorang awek cun dan comel tahap meruntun jiwa aku.

Sampai acara kemuncak. Tok Ketua diminta berkaraoke. Bangunlah beliau, dan bertepuklah segala pembesar-pembesar negeri memberi semangat. Aku pun bersemangat juga. Teruja nak mendengar alunan suara Tok Ketua.

Muzik pun dipasang. Lagu sentimental. Tok Ketua pun bernyanyi. Tergamam sang hadirin. Masing-masing kelu tak berkata.

Kalau akulah yang bernyanyi seperti itu malam tadi, pasti aku akan dihina sepanjang hayat. Dibaling telur tembelang dan tomato. Mungkin tidak dibenarkan lagi menghadiri majlis-majlis rasmi jajahan negeri. Mesti awek cun yang ajak aku tadi dah buat-buat tak kenal dengan aku. Suara yang tidak sedap boleh dimaafkan, tapi bila bait-bait lirik tidak dinyanyikan pada masa yang sepatutnya, spontan aku mengalami trauma. Terpaksa aku bernyanyi perlahan di dalam hati mengikut rentak untuk mengurangkan tekanan. Aku tengok rakyat lain pun resah-gelisah memendam perasaan.

Tapi itu Tok Ketua. Lain penangannya. Selesai berlagu, bersorak-sorai pembesar, panglima dan beberapa kerat rakyat. Yaa, tepuk, tepuk! Bodek, bodek! Aku pun ikut tepuk juga. Meski sekali tepuk cuma. Tapi samalah macam yang lain, hipokrit.

Aku harap Tok Ketua sedar diri. Jangan termakan bodek juak-juaknya. Jangan nanti dia pergi buat persembahan begitu di jajahan takluk negeri jiran.

Maafkan saya Tok. Tapi Tok jangan risau, saya senantiasa taat setia di bawah kepimpinan Tok.

Hari ini semester baru. Fakulti nampak kembali bernyawa dengan kelibat siswa-siswinya. Barulah ada seri kembali bila ada kuntuman bunga-bunga indah dan tak berapa indah berjalan mundar-mandir di pejabat fakulti menguruskan pendaftaran dan mendapatkan jadual kuliah.

Pensyarah yang aku assist cuti. Kelasnya aku yang ganti. Belum ramai. Cuma separuh lebih sedikit dari jumlah pelajar yang sepatutnya. Ramai yang masih belum kebah koma bercuti. Ada pula mangsa bencana alam. Aku yakin yang menyamar jadi mangsa pun ada. Aku khabarkan mereka berita gembira. Minggu ini kelas tiada. Sebahagian ceria. Ada yang kata, “Alaa…” Aku tahu. Mereka menyesal balik awal. Minggu depan cuti Raya Haji dan Tahun Baru pula. Kan elok kalau senat tunda tarikh buka semester. Ahh…itu urusan pihak atasan. Aku balaci yang taat menurut perintah. Mereka kata kena kerja, aku datang kerja.

Aku beritahu mereka format penilaian sepanjang semester. Waktu kuliah dan tutorial. Aku khabarkan yg subjek ini susah dengan harapan mereka akan bersungguh dari awal. Beritahu mereka bilik aku dan cara menghubungi. 20 minit selesai.

Tiba-tiba aku terkenangkan waktu aku belajar dulu. Di sini. Bersama kawan-kawan aku. Memang seronok waktu itu. Dan entah kenapa hari ini aku rindu pada mereka. Pada suasana yang dulu itu

Ahh…waktu belajar memang yang paling indah.

Semalam, aku rasa tak sedap badan. Bila memandu ke pejabat, kepala rasa semacam. Sangkaan awalku, mungkin sebab aku tak makan dari petang sebelumnya. Cuaca pun mungkin ada kesannya, hujan sudah berterusan 2 hari di sini, Berhentinya cuma sekejap-sekejap. Aku singgah di 7-E, beli roti dan susu. Sampai ke pejabat, aku tak boleh fokus untuk buat satu kerja pun. Badan rasa sungguh tak selesa. Mujurlah pejabatku yang ini biliknya seorang satu. Kalau macam masa di kilang dulu, yang ruangku dan staf lain hanya dipisahkan oleh partition, dah tentu payah. Akhirnya aku susun 3 kerusi sebaris dalam bilik dan baring. Tak lama. Lepas tu aku terpaksa bangun bergegas ke tandas. Muntah. Keluar segala air bermacam rasa.

Lega sekejap. Tapi perut kosong. Aku makan roti yang aku beli tadi. Sekejap aje dalam tembolok. Belum sempat diproses, menderu ia keluar. Aku muntah lagi.

Makcik-makcik cleaner yang duduk di depan bilik aku tau aku lapar. Diorang buatkan aku maggi dan air milo o. Aku makan. Pun tak bertahan lama. Aku muntah lagi. Keluar maggi itu, masih dalam keadaan pepejal.

Usai waktu pejabat aku balik rumah dalam keadaan mamai. Sampai aje, terus baring atas katil. Badan rasa lemah teramat. Tangan menggigil. Aku minum 100 Plus, kerana doktorku pernah memberitahu aku minuman isotonik itu sangat bagus untuk mengelakkan muntah. Tak berkesan.

Perut aku merajuk sehari suntuk. Apa yg diberi semuanya tak mahu. Tapi aku isi juga, walaupun aku tahu ianya akan direject. Metaforanya adalah perempuan. Kalau perempuan merajuk, lelaki kena terus tunjukkan kasih sayangnya, kerana lama-kelamaan akan cair juga hatinya nanti.

Aku terkenang saat aku kecil dulu, acap aku sebegini bila dilanda demam. Doktorku kata lain orang lain ‘pesen’nya. Pesen aku adalah muntah. Dan aku akan terbaring tak larat nak bangun. Mak aku kemudiannya akan siapkan baldi berisi sedikit air di sisi katilku. Kalau aku mahu muntah, terus saja aku berkalih ke situ dan mengeluarkan isi perut semahunya. Dan tanpa sekelumit komplen sekalipun, dia akan mengangkat baldi itu ke tandas dan mencucinya dan meletakkannya semula di tepi katilku. Kadangkala ada sisa-sisa muntah yang tidak tepat masuk ke baldi, berjejeran menitis ke atas lantai. Maka dia juga akan mengelapnya tanpa banyak soal. Tugas ini digiliri dengan abah.

Aku terharu bila terkenangkan itu. Sungguh. Baru yang itu pun, sudah nampak pengorbanan dan kasih sayang mereka padaku. Kasih sayang tanpa syarat. Yang tak mungkin didapatkan dari orang lain. Baru yang itu. Belum yang lain lagi. Yang lebih hebat. Yang lebih dahsyat. Aduh….

Dan hari ini Allah memberikan aku sakit ini agar aku mengingat kembali semua itu. Agar aku jangan lupa. Kerana aku cepat lupa.

Dulu. Waktu belajar.

Kedai mamak. Aku duduk melepak bersama kawan-kawan.

“Dey macha!” Ku laung mamak yang sedang khusyuk mengelap meja di depanku.

“Ya abang, mau makan apa?” Pantas dia menghampiri sambil melemparkan sekuntum senyuman manis penuh mesra. Terus bulu-bulu misai yang lebat berjuraian menutupi bibir atasnya. Mungkin ada sehelai dua yang terus masuk ke mulut. Aku tak pandang muka dia lama-lama.

“Kasi teh tarik gelas (besar) satu, makan kasi itu rojak mee.”

“Ok, siap. Yang lain, apa mahu? Makan, minum?”

“Macha, kopi satu.”

“Macha, sama.”

Usai makan dan pulang, sahabatku bertanya di rumah, apa maksud “macha” sebenarnya?

Entahlah, aku kata. Kawanlah kot.

Lalu kawanku bertanya kepada seorang housemate kami. Orang Hindu.

“Macha itu adik ipar,” dia menjawab sambil tersengih.

“Ohhh…itu macam ka?!!” Kami semua pun macam tak percaya. Patutlah mamak tu tersengih bahagia tiap kali aku panggil dia macha. Ada hati nak jadi adik ipar aku. Cheiss!!! Patutlah dia panggil aku ABANG! Aku terbayangkan misainya yg tebal. Lengannya yang berbulu lebat bagaikan serigala. Cheiss!!!

result ielts

Alhamdulillah.

Perjalananku mengejar sebuah cita-cita. Baru saja bermula. Dan syukur padaNya, dua tiga langkahku yang pertama hasilnya memberangsangkan. Tapi jejak kembaraku masih jauh. Masih ada beribu batu.