Dulu. Waktu belajar.

Kedai mamak. Aku duduk melepak bersama kawan-kawan.

“Dey macha!” Ku laung mamak yang sedang khusyuk mengelap meja di depanku.

“Ya abang, mau makan apa?” Pantas dia menghampiri sambil melemparkan sekuntum senyuman manis penuh mesra. Terus bulu-bulu misai yang lebat berjuraian menutupi bibir atasnya. Mungkin ada sehelai dua yang terus masuk ke mulut. Aku tak pandang muka dia lama-lama.

“Kasi teh tarik gelas (besar) satu, makan kasi itu rojak mee.”

“Ok, siap. Yang lain, apa mahu? Makan, minum?”

“Macha, kopi satu.”

“Macha, sama.”

Usai makan dan pulang, sahabatku bertanya di rumah, apa maksud “macha” sebenarnya?

Entahlah, aku kata. Kawanlah kot.

Lalu kawanku bertanya kepada seorang housemate kami. Orang Hindu.

“Macha itu adik ipar,” dia menjawab sambil tersengih.

“Ohhh…itu macam ka?!!” Kami semua pun macam tak percaya. Patutlah mamak tu tersengih bahagia tiap kali aku panggil dia macha. Ada hati nak jadi adik ipar aku. Cheiss!!! Patutlah dia panggil aku ABANG! Aku terbayangkan misainya yg tebal. Lengannya yang berbulu lebat bagaikan serigala. Cheiss!!!