Semalam, aku rasa tak sedap badan. Bila memandu ke pejabat, kepala rasa semacam. Sangkaan awalku, mungkin sebab aku tak makan dari petang sebelumnya. Cuaca pun mungkin ada kesannya, hujan sudah berterusan 2 hari di sini, Berhentinya cuma sekejap-sekejap. Aku singgah di 7-E, beli roti dan susu. Sampai ke pejabat, aku tak boleh fokus untuk buat satu kerja pun. Badan rasa sungguh tak selesa. Mujurlah pejabatku yang ini biliknya seorang satu. Kalau macam masa di kilang dulu, yang ruangku dan staf lain hanya dipisahkan oleh partition, dah tentu payah. Akhirnya aku susun 3 kerusi sebaris dalam bilik dan baring. Tak lama. Lepas tu aku terpaksa bangun bergegas ke tandas. Muntah. Keluar segala air bermacam rasa.

Lega sekejap. Tapi perut kosong. Aku makan roti yang aku beli tadi. Sekejap aje dalam tembolok. Belum sempat diproses, menderu ia keluar. Aku muntah lagi.

Makcik-makcik cleaner yang duduk di depan bilik aku tau aku lapar. Diorang buatkan aku maggi dan air milo o. Aku makan. Pun tak bertahan lama. Aku muntah lagi. Keluar maggi itu, masih dalam keadaan pepejal.

Usai waktu pejabat aku balik rumah dalam keadaan mamai. Sampai aje, terus baring atas katil. Badan rasa lemah teramat. Tangan menggigil. Aku minum 100 Plus, kerana doktorku pernah memberitahu aku minuman isotonik itu sangat bagus untuk mengelakkan muntah. Tak berkesan.

Perut aku merajuk sehari suntuk. Apa yg diberi semuanya tak mahu. Tapi aku isi juga, walaupun aku tahu ianya akan direject. Metaforanya adalah perempuan. Kalau perempuan merajuk, lelaki kena terus tunjukkan kasih sayangnya, kerana lama-kelamaan akan cair juga hatinya nanti.

Aku terkenang saat aku kecil dulu, acap aku sebegini bila dilanda demam. Doktorku kata lain orang lain ‘pesen’nya. Pesen aku adalah muntah. Dan aku akan terbaring tak larat nak bangun. Mak aku kemudiannya akan siapkan baldi berisi sedikit air di sisi katilku. Kalau aku mahu muntah, terus saja aku berkalih ke situ dan mengeluarkan isi perut semahunya. Dan tanpa sekelumit komplen sekalipun, dia akan mengangkat baldi itu ke tandas dan mencucinya dan meletakkannya semula di tepi katilku. Kadangkala ada sisa-sisa muntah yang tidak tepat masuk ke baldi, berjejeran menitis ke atas lantai. Maka dia juga akan mengelapnya tanpa banyak soal. Tugas ini digiliri dengan abah.

Aku terharu bila terkenangkan itu. Sungguh. Baru yang itu pun, sudah nampak pengorbanan dan kasih sayang mereka padaku. Kasih sayang tanpa syarat. Yang tak mungkin didapatkan dari orang lain. Baru yang itu. Belum yang lain lagi. Yang lebih hebat. Yang lebih dahsyat. Aduh….

Dan hari ini Allah memberikan aku sakit ini agar aku mengingat kembali semua itu. Agar aku jangan lupa. Kerana aku cepat lupa.