Semalam ada pesta keraian untuk jajahan takluk negeriku. Makan-makan percuma. Ada cabutan bertuah. TV plasma. Maka turunlah segala pembesar-pembesar negeri, panglima-panglima kanan dan kiri sampailah kepada rakyat marhaen dan macai-macai seperti aku ini. Bergelak ketawa dan bersalam-salaman, berbual-bual mesra sambil masing-masing menyimpan harapan di dalam hati agar dapatlah menang TV plasma tu.

Acaranya biasa-biasa aje. Takde yang luarbiasa. Aku datang bukan untuk tengok persembahan pun. Bukan untuk makan, malah. Hanya semata-mata kerana diajak oleh seorang awek cun dan comel tahap meruntun jiwa aku.

Sampai acara kemuncak. Tok Ketua diminta berkaraoke. Bangunlah beliau, dan bertepuklah segala pembesar-pembesar negeri memberi semangat. Aku pun bersemangat juga. Teruja nak mendengar alunan suara Tok Ketua.

Muzik pun dipasang. Lagu sentimental. Tok Ketua pun bernyanyi. Tergamam sang hadirin. Masing-masing kelu tak berkata.

Kalau akulah yang bernyanyi seperti itu malam tadi, pasti aku akan dihina sepanjang hayat. Dibaling telur tembelang dan tomato. Mungkin tidak dibenarkan lagi menghadiri majlis-majlis rasmi jajahan negeri. Mesti awek cun yang ajak aku tadi dah buat-buat tak kenal dengan aku. Suara yang tidak sedap boleh dimaafkan, tapi bila bait-bait lirik tidak dinyanyikan pada masa yang sepatutnya, spontan aku mengalami trauma. Terpaksa aku bernyanyi perlahan di dalam hati mengikut rentak untuk mengurangkan tekanan. Aku tengok rakyat lain pun resah-gelisah memendam perasaan.

Tapi itu Tok Ketua. Lain penangannya. Selesai berlagu, bersorak-sorai pembesar, panglima dan beberapa kerat rakyat. Yaa, tepuk, tepuk! Bodek, bodek! Aku pun ikut tepuk juga. Meski sekali tepuk cuma. Tapi samalah macam yang lain, hipokrit.

Aku harap Tok Ketua sedar diri. Jangan termakan bodek juak-juaknya. Jangan nanti dia pergi buat persembahan begitu di jajahan takluk negeri jiran.

Maafkan saya Tok. Tapi Tok jangan risau, saya senantiasa taat setia di bawah kepimpinan Tok.