Aku sering tak berpuas hati dengan kualiti cucian mesin basuh aku. Selalunya baju putih atau yang cerah warnanya akan terpalit karat yang susah untuk tanggal bila selesai dicuci.  Teruk sangatkah kualiti air paip rumah aku? Sekali pandang, aku tengok airnya ok saja. Kuning sekali-sekala mungkin. Lalu aku bereksperimentasi mudah. Sebagai seorang kreatif yang menjadikan siri cerita Macgyver sebagai sumber inspirasi, aku guna barang sedia ada. Sehelai tuala good morning aku tekup ke hos mesin basuh. Aku ikatkan dengan gelang getah. Aku alirkan air melaluinya. Dan lihatlah hasilnya.

Dan ini baru kesan sekali cucian! Mulai saat itu aku sudah tidak sanggup lagi minum air dari paip rumah meskipun telah dimasak. Tak mahu aku biarkan karat dan kotoran itu menghuni organ-organ, urat saraf dan pundi-pundi kencingku.