Februari 2007


Hari ini hari Jumaat. Meski di negara orang, kewajipan tetap perlu ditunaikan. Di Kensington, tempat uni aku, tidak ada masjid. Tapi siapa kata solat Jumaat kena buat di masjid kan? Asalkan tempatnya sesuai, bersih, sudah tentu tidak ada masalah. Aku solat di Sam Cracknell’s Pavillion, sebuah pusat sukan yg digunakan untuk memenuhi keperluan solat Jumaat Muslimin di sini. Hanya solat Jumaat sahaja, kalau solat biasa, tempatnya di Squarehouse, kira-kira 200 meter jaraknya dari SCP.

Khutbahnya dwibahasa, Arab dan English. Ah, alangkah seronoknya kalau aku boleh berbahasa Arab. Selesai solat aku bertemu Tn Hj Musa, Pengarah MSD (Malaysian Students Department) di sini. Juga beberapa org pegawai MSD serta beberapa org student postgrad. Seronok juga dapat berjumpa bangsa sendiri. Tapi kalau nak pemikiran berkembang, harus aku bercampur dengan bangsa-bangsa lain di sini. Tak mengapa, aku banyak peluang itu bila mula kuliah nanti. 

Advertisements

Hari ini aku selesai mendaftar secara sah sebagai pelajar UNSW. Buat kad matriks, akaun bank dan seterusnya berlegar-legar mencari letak duduk fakulti, perpustakaan, tempat makan dan lain-lain. Oh, aku terlupa bagitau, bersama-sama aku ada 2 lagi student postgrad baru. Hamzah dan Hanafi. Student biomed. Aku mengexplore dunia baru ini bersama merekalah. Cuma ada satu kedai makan halal yang kami jumpa, kedai pak arab jual kebab.Itupun AUD7 satu. Kalau hari-hari makan kebab, bangkraplah aku. Itu tak kira muaknya lagi. Nak tak nak nampaknya aku kenalah belajar memasak, satu skil yang sepatutnya aku dah belajar lama. Tulah, mak suh belajar dulu tak nak, malas.

Petang kami ke City (merujuk kepada bandar Sydney). Tersalah naik bas, kami dengan jayanya telah menyesatkan diri sampai ke Central Station, pusat stesen keretapi di sini. Lebih kurang macam Stesen Keretapi Kuala Lumpur sewaktu masih beroperasi dulu. Mujurlah ada peta bandar. Mampulah lagi menggagahkan diri hingga sampai ke Darling Harbour. Itupun macam tak sengaja aje sampai! Berjalan-jalanlah kami di situ beberapa tika. Kemudian timbul pula satu masalah, tak tahu macamana nak balik. Terpaksalah call Hendra mintak bantuan.

Bila balik Hendra pun tanya,”Eh, korang jalan-jalan ke mana?”

“Pergi Darling Harbour”. Naluri seorang lelaki adalah untuk control macho, buat macam tau.

“Eh…camana korang cari? Ke…..tak sengaja sampai?”. Dia tanya. Muka sinis penuh makna. Ahahaha..dia dah tau. Dia pun lelaki juga.

9.35 pagi 14/2/2007. Akhirnya. Aku sudah sampai ke bumi Australia. Tanah hakmilik Aborigines yg dijajah oleh British sejak sekian lama. Tempat tumpah darah mendiang Steve Irwin, Crocodile Hunter yang berani sungguh itu. Tempat bermastautinnya 5 daripada 10 ular paling berbisa di dunia. Aduhai, mudah-mudahan aku tidak perlu ketemu mereka itu. Aku ophidiophobic. Aku rasa pun kebarangkaliannya tipis, kerana aku di bandar.

Ketibaan aku disambut oleh seorang student PhD di sini. Namanya Hendra. Dari airport aku dibawa ke Malaysian Hall di Randwick, timur bandar Sydney. Aku transit di sana 8 jam. Kemudian dibawa Hendra ke rumahnya. Malaysian Hall penuh. Ramai student undergrad tajaan JPA dan MARA ke sini musim pengajian kali ini. Oleh kerana permohonan aku untuk menetap agak lewat, ia ditolak dan aku harus mencari rumah sendiri.

Perkara pertama yang diajar kepada aku di Sydney ialah semasa membeli barang, jangan convertkan kepada ringgit Malaysia. Perkara biasa bagi student macam aku ni yang tak pernah keluar dari negara sendiri. Kerana AUD1 di sini bersamaan dengan kira-kira RM2.70. Jadinya, setiap barang yang dibeli terasa mahal. Kadar pertukaran mata wang itu ditambah lagi dengan faktor kehidupan urban di bandar Sydney. Harga barang dan sewa rumah amnya lebih mahal. Bayangkan, untuk sebuah rumah dengan kemudahan 2 bilik tidur dan satu bilik mandi, sewanya di sini adalah sekitar AUD200 seminggu (sewa dibayar ikut minggu, bkn bulan), iaitu kira-kira RM540 seminggu. Sebulan kira-kira RM2160! Mujurlah kadar biasiswa sekarang telah dinaikkan. Kalau tidak, mungkin aku terpaksa buat part-time untuk menampung kehidupan.

Tak sampai sehari di Sydney, aku sudah dibawa berjalan-jalan. Cuti-cuti Australia. Aku ke Circular Quay, Sydney Opera House sambil melihat keindahan Harbour Bridge di malam hari. Kebetulan hari ini hari Valentine. Culture shock juga aku. Pasangan kekasih berserakan serata tempat. Ada yang berpelukan semahunya. Bercium mulut. Beriba-ribaan. Semuanya di hadapan khalayak. Tapi orang di sini semua tak kisah. Aku sahaja yang belum biasa.

Satu perkara yang buat hidup aku tertekan adalah apabila aku terpaksa ke tandas awamnya. Tak ada paip air. Menggunakan tisu untuk membersihkan sisa-sisa kumbahan yang tercalit dan terpalit menghasilkan satu perasaan yang sangatlah tidak best. Tapi sabar sajalah. Balik rumah baru basuh dengan air puas-puas.

Usai sudah hari pertama. Menanti apa pula yang tersedia di hari-hari mendatang.