9.35 pagi 14/2/2007. Akhirnya. Aku sudah sampai ke bumi Australia. Tanah hakmilik Aborigines yg dijajah oleh British sejak sekian lama. Tempat tumpah darah mendiang Steve Irwin, Crocodile Hunter yang berani sungguh itu. Tempat bermastautinnya 5 daripada 10 ular paling berbisa di dunia. Aduhai, mudah-mudahan aku tidak perlu ketemu mereka itu. Aku ophidiophobic. Aku rasa pun kebarangkaliannya tipis, kerana aku di bandar.

Ketibaan aku disambut oleh seorang student PhD di sini. Namanya Hendra. Dari airport aku dibawa ke Malaysian Hall di Randwick, timur bandar Sydney. Aku transit di sana 8 jam. Kemudian dibawa Hendra ke rumahnya. Malaysian Hall penuh. Ramai student undergrad tajaan JPA dan MARA ke sini musim pengajian kali ini. Oleh kerana permohonan aku untuk menetap agak lewat, ia ditolak dan aku harus mencari rumah sendiri.

Perkara pertama yang diajar kepada aku di Sydney ialah semasa membeli barang, jangan convertkan kepada ringgit Malaysia. Perkara biasa bagi student macam aku ni yang tak pernah keluar dari negara sendiri. Kerana AUD1 di sini bersamaan dengan kira-kira RM2.70. Jadinya, setiap barang yang dibeli terasa mahal. Kadar pertukaran mata wang itu ditambah lagi dengan faktor kehidupan urban di bandar Sydney. Harga barang dan sewa rumah amnya lebih mahal. Bayangkan, untuk sebuah rumah dengan kemudahan 2 bilik tidur dan satu bilik mandi, sewanya di sini adalah sekitar AUD200 seminggu (sewa dibayar ikut minggu, bkn bulan), iaitu kira-kira RM540 seminggu. Sebulan kira-kira RM2160! Mujurlah kadar biasiswa sekarang telah dinaikkan. Kalau tidak, mungkin aku terpaksa buat part-time untuk menampung kehidupan.

Tak sampai sehari di Sydney, aku sudah dibawa berjalan-jalan. Cuti-cuti Australia. Aku ke Circular Quay, Sydney Opera House sambil melihat keindahan Harbour Bridge di malam hari. Kebetulan hari ini hari Valentine. Culture shock juga aku. Pasangan kekasih berserakan serata tempat. Ada yang berpelukan semahunya. Bercium mulut. Beriba-ribaan. Semuanya di hadapan khalayak. Tapi orang di sini semua tak kisah. Aku sahaja yang belum biasa.

Satu perkara yang buat hidup aku tertekan adalah apabila aku terpaksa ke tandas awamnya. Tak ada paip air. Menggunakan tisu untuk membersihkan sisa-sisa kumbahan yang tercalit dan terpalit menghasilkan satu perasaan yang sangatlah tidak best. Tapi sabar sajalah. Balik rumah baru basuh dengan air puas-puas.

Usai sudah hari pertama. Menanti apa pula yang tersedia di hari-hari mendatang.