Hari ini aku selesai mendaftar secara sah sebagai pelajar UNSW. Buat kad matriks, akaun bank dan seterusnya berlegar-legar mencari letak duduk fakulti, perpustakaan, tempat makan dan lain-lain. Oh, aku terlupa bagitau, bersama-sama aku ada 2 lagi student postgrad baru. Hamzah dan Hanafi. Student biomed. Aku mengexplore dunia baru ini bersama merekalah. Cuma ada satu kedai makan halal yang kami jumpa, kedai pak arab jual kebab.Itupun AUD7 satu. Kalau hari-hari makan kebab, bangkraplah aku. Itu tak kira muaknya lagi. Nak tak nak nampaknya aku kenalah belajar memasak, satu skil yang sepatutnya aku dah belajar lama. Tulah, mak suh belajar dulu tak nak, malas.

Petang kami ke City (merujuk kepada bandar Sydney). Tersalah naik bas, kami dengan jayanya telah menyesatkan diri sampai ke Central Station, pusat stesen keretapi di sini. Lebih kurang macam Stesen Keretapi Kuala Lumpur sewaktu masih beroperasi dulu. Mujurlah ada peta bandar. Mampulah lagi menggagahkan diri hingga sampai ke Darling Harbour. Itupun macam tak sengaja aje sampai! Berjalan-jalanlah kami di situ beberapa tika. Kemudian timbul pula satu masalah, tak tahu macamana nak balik. Terpaksalah call Hendra mintak bantuan.

Bila balik Hendra pun tanya,”Eh, korang jalan-jalan ke mana?”

“Pergi Darling Harbour”. Naluri seorang lelaki adalah untuk control macho, buat macam tau.

“Eh…camana korang cari? Ke…..tak sengaja sampai?”. Dia tanya. Muka sinis penuh makna. Ahahaha..dia dah tau. Dia pun lelaki juga.