Weekend baru lepas, aku dan housemates tengok cerita Cicak-Man. Di sini, di Sydney. Bukan, bukan disiarkan di panggung. Cerita itu tidak layak untuk itu. Di rumah, dengan cd cetak rompak yang entah dari mana kawan aku dapat pun aku tidak tahu. Ya, aku mungkin ketinggalan zaman. Orang dah sibuk dengan movie lain, aku baru layan Cicak-Man. Tapi tak apalah. Kisah superhero Malaya yg sungguh tidak macho tapi kelakar gila, dan berkeupayaan memanjat dinding di samping suka memakan serangga. Boleh tahan la Saiful Apek, harapkan dialah untuk menghidupkan cerita itu pun. Cuma satu fakta yang tak diketengahkan yang aku sangat ingin tahu, kalau Cicak-Man berak, apakah tahinya akan separuh hitam separuh putih juga?

Dulu sewaktu aku sekolah rendah, aku memang membawa bekal air ke sekolah. Aku suka Nescafe O, jadi mak aku akan buatkannya setiap pagi. Air itu selalunya akan habis menjelang waktu aku menunggu bas balik dari sekolah. Satu hari sewaktu aku dalam Darjah 4, sewaktu menunggu bas pulang selepas tamat sekolah, seperti biasa aku sedut air aku sampai habis. Tapi hari itu aku pelik, bila habis aku rasa ada sesuatu yang menggeletek-geletek lelangit mulutku. Aku pandang straw botol minuman aku. Ada sesungut! Aku bukak botol itu. Kelihatanlah pemandangan ngeri dua ekor lipas yang telah menjadi arwah, barangkali kerana lemas, ataupun kerana terkena air panas nescafe pagi itu, aku pun tidak tahu. Aku rasa sungguh keji dan hina. Rasa macam nak muntah, rasa macam nak menangis, rasa macam nak meraung. Semua ada.

Bila aku khabarkan berita itu pada mak, dia pun terkejut gila. Perkara itu bukan salah mak aku. Dia biasanya sangat teliti dalam hal-ehwal penyediaan pemakanan anak-anaknya. Cuma ditakdirkan hari itu dia terlepas pandang. Dan sungguhpun tragedi itu sungguh menggetikkan, aku tidaklah fobia pada lipas sehingga ke hari ini.

Yang buat aku terfikir, kalaulah lipas itu lipas radioaktif yang terlepas keluar dari makmal penyelidikan, barangkali akulah superhero Malaya yang pertama. Akulah Lipas-Man. Antara superpower yang mungkin aku miliki ialah:

1. Mempunyai deria sentuhan yang sangat sensitif. Mungkin akan tumbuh sesungut di kepala yang akan menguit-nguit ke mana saja aku pergi.

2. Mempunyai keupayaan membiak yang sangat pantas dan cemerlang.

3. Suka duduk di kawasan sampah ataupun bersama sampah masyarakat.

3. Boleh melarikan diri dengan sangat pantas bila ketakutan.

4. Mengeluarkan bau yang sangat busuk apabila sedang melepak-lepak.

Bila aku fikirkan semula, mujurlah aku tidak jadi superhero. Cicak-Man dah ada cukuplah. Dan cukuplah aku menjadi diriku sendiri.