Hari Sabtu ini hari pilihanraya di negeri New South Wales. Tiba di sini baru aku tahu, rupanya New South Wales itu satu negeri, Sydney itu bandar di dalamnya. Almaklum, aku lemah geografi. Pertarungannya dua penjuru antara pemegang tampuk pemerintahan semasa Morris Iemma dari parti buruh dan ketua partai pembangkang, Peter Debnam. Gahlah keluar di dada suratkhabar dan kaca TV aktiviti kutuk-mengutuk, korek-mengorek, dedah-mendedah aib sang musuh. Lumrahlah, mainan politik. Tapi aku respek media di sini. Baik kerajaan mahupun pembangkang, dua-dua boleh keluarkan iklan di TV. Sama-sama boleh keluar artikel dalam suratkhabar. Media boleh dedahkan baik rendahnya kewibaan pembangkang mahupun busuknya kebobrokan pemerintah. Meskipun pastinya hak pembangkang tidak setaraf pemerintah semasa, namun tidak dinafikan.

Aku terkenang negaraku sendiri.

Khutbah Jumaat di sini juga menarik. Khatib memilih dan menyusun sendiri isi khutbah, yang mana biasanya relevan dgn keadaan semasa. Peranan khatib digiliri setiap minggu. Sepanjang 5 kali aku solat Jumaat belum pernah khatibnya sama. Khatib bebas untuk berkata tentang apa isu yang difikirkan wajar. 

Aku terkenang masjidku sendiri.

Khutbahnya dalam bahasa Inggeris. Pendokong mazhab Hanafi tidak menyetujui pendapat ini kerana bagi mereka solat Jumaat hanya sah kalau khutbahnya dalam bahasa Arab. Tetapi tidak diikutkan di sini kerana mengambil kira pandangan mazhab lain. Lagi pengetahuan baru buat aku. Khatib yg terbaru menghuraikan tentang hikmah berbeza pendapat ini. Apabila kita berbeza pendapat, kita berupaya mendapatkan pandangan sesuatu isu itu dari sudut berbeza. Kita dapat menilai apakah persepsi kita benar dan betul. Kadangkala kita memang betul, kadangkala salah. Kadangkala tiada siapa yang betul atau salah. Yang penting kita bersedia dan terbuka untuk menerima pendapat lain.

Aku terkenang lagi negaraku sendiri.