April 2007


Satu teori mengatakan bahawa semakin bodoh kita ini, semakin kita rasa kita pandai. Oleh kerana banyak yang kita tidak tahu, kita rasa apa yang kita tahu itu sudah cukup banyak. Lalu tanpa sedar tergamak kita melekehkan orang lain yang barangkali ilmunya lebih hebat dari kita. Tenggelamlah kita dalam kebodohan kita itu. Lemaslah tak dapat ditolong lagi.

Tadi, dalam kuliah, satu peristiwa kecil menyedarkan aku tentang hakikat ini. Pensyarah sedang menghuraikan satu konsep yang mencetus sedikit kontroversi. Bangkit seorang pelajar mempertikaikan kesahihan penjelasan profesor itu. Dengan tenang, sang profesor memberi jawaban yang logik dan berasas. Tapi pelajar itu tidak mahu mengaku kalah. Tidak puas hati dia, membentak-bentak dia cuba menegakkan benang yang basah. Profesor diam buat tidak tahu. Dia terus membebel-bebel pada rakan di sebelahnya, memperlekehkan penjelasan pensyarah itu tadi. Walhal kalau dia memilih untuk diam sejenak dan memikirkan kata-kata profesor itu, dia akan sedar kebenarannya. Sebaliknya dia memilih untuk memperlihatkan kebodohannya biar diketahui semua warga kuliah.

Bertanya itu tidak salah, kerana itu salah satu pintu ilmu. Mempertikaikan penjelasan pensyarah juga tidak salah, asalkan didasari hujah konkrit dan berdasarkan pengetahuan. Tapi harus disertai adab, kerana dia sedang memberi ilmunya pada kita.

Jika tidak, jadilah kita orang yang meludah ke langit, jatuh tertimpa muka sendiri.

Advertisements

Hajatku tercapai jua. Berkelana ke Featherdale, melihat haiwan marsupial terbesar di dunia dan sanak-saudaranya. Juga melihat ular paling berbisa di dunia, live and uncut. Tempat ini adalah open wildlife park, di mana kita boleh berinteraksi secara langsung dengan haiwan tersebut. Boleh pegang-pegang, bagi makan, tangkap2 gambar. Err…maksud aku dengan kangaroo dan koala, bukannya dengan ular ye! Malangnya aku ke sana seorang diri, jadi tak dapatlah nak bergambar sangat dengan binatang2 tu, tangkap gambar diorang sajalah. Nak suruh orang tolong tangkapkan segan pula.

chumel la pulok ko bt camtuaii...rilek je bro...aku nak pegang ko bleh tak?wallaby albino

Fakta: Jumlah populasi 4 spesies kangaroo utama di Australia adalah 2.5 kali ganda lebih ramai berbanding dengan populasi penduduk di Australia.

Fakta: Kangaroo boleh melompat hingga selaju 70 km sejam. Tapi biasa kalau dia nak rileks-rileks aje, kelajuannya adalah antara 20-25km sejam. Lompatannya boleh mencecah 8-9 meter sekali lompatan dengan ketinggian lompatan mencapai 3 meter!

Khabar Angin: Aku tengok satu rancangan dalam tv mengatakan bahawa kangaroo jantan boleh menyembunyikan telurnya ke dalam badan sebagai mekanisme perlindungan apabila diancam atau hendak bergaduh dengan kangaroo lain. Kalau manusia jantan boleh buat macam ni, hmmmm…(cakap pasal telur lagi ek Cheedah? :-p) Anyway, aku cuba cari kesahihan info ni tapi tak dapat pulak.

Fakta: Koala tidur antara 16-18 jam sehari. Bapak lama!

Fakta: Kalau nak usap koala, usap di badannya. Jangan di kepala, dia tak suka!

Fakta: Mengikut satu kajian yang dijalankan terhadap populasi tikus, bisa yang terdapat dalam sekali patukan ular jenis inland taipan ini dijangka boleh membunuh 100 orang. Namun satu kajian lagi membantah pendapat ini kerana kata mereka tikus tidaklah boleh dinisbahkan sesempoi itu kepada manusia. Ular hanya akan menjadi binatang paling berbahaya kepada anda jika anda seekor tikus katanya.

Fakta: Sebagai orang Islam pula, kita percaya bahawa jin boleh menjelma sebagai ular. Maka kalau ular masuk ke dalam rumah, tidaklah boleh dibunuh serta-merta melainkan ditanya lebih dahulu “Engkau ular ke jin? Kalau jin, keluar dari rumah ini” sebanyak 3 kali. Kalau dia buat derk aje, maka barulah boleh dibunuh, demikian menurut kata Ustaz Ismail Kamus.

Fakta: Saltwater crocodile adalah spesies reptilia terbesar di dunia.

Fakta: Keupayaan gigitan buaya boleh mencecah 200kg per sentimeter persegi.

Ok. Tamatlah sudah waktu untuk mempelajari dunia haiwan ini. Tibalah masanya untuk kembali menghadap subjek-subjek elektrikal aku itu.

Hari itu kuliah aku 2-3 ptg kemudian tutorial 4-5 ptg. Dan hari itu, sela masa sejam itu aku habiskan di surau uni, berehat di bahagian belakang sesudah solat.

Ada jemaah baru solat di hadapan. Dua saf. Saf belakang hanya 3 orang, budak Timur Tengah, dua darinya berpakaian hip-hop dgn seluar baggy labuh dan longgar. Tatkala Al Fatihah rakaat kedua, kesunyian solat dipecahi,

“Heyyyyyy yaaa…tununununut, Heyyyy yaaa. Shake it, shake, shake it..” Handset budak Arab itu berlagu. Kelam-kabut dia. Kawan dia di sebelah sudah menggigil-gigil menahan tawa. Sambil terus solat, dia dengan sempoinya menyeluk tangan ke dalam poket, mengeluarkan hensetnya, melihat handsetnya, mematikan bunyi dan memasukkannya semula ke dalam poket.

Mazhab mana la budak ni….

Usai program mingguan di Dewan Malaysia Jumaat malam lepas, En. Naza, pegawai MSD (Malaysian Student Department) di Sydney panggil aku dan housemate aku.

“Eyy, esok kami nak pi naik kuda. Hangpa nak ikut tak?” Telor utaranya masih pekat berlikat, meski sudah 3 tahun di sini.

Terus cancel plan nak pegi Featherdale Wildlife Park. Minggu depan la nampaknya aku bergambar dengan korang ye puan kanggaroo dan inche koala. Nak jumpa korang senang sikit. Tapi peluang berkuda di dalam hutan ala-ala koboi merentasi padang menghijau, bukit-bukau dan pemandangan indah bukan sesuatu yang mudah untuk diperoleh.

Kami pergi berenam belas. Pengarah MSD dan keluarga, pegawai2 MSD dan isteri serta student-student postgrad macam aku. Tempatnya di Glenworth Valley, kira-kira 70 km utara Sydney. Kawasan luas dihiasi padang hijau, gunung-ganang, hutan, sungai.

Pemandangannya indah. Sungguh.

Tapi kuda aku tak nak dengar cakap. Aku suruh dia jalan, dia tak mau jalan. Aku tak suruh dia jalan, tiba-tiba dia berlari. Terhenyak-henyak t***r aku. Senaknya aduh laa. Hanya seorang lelaki bisa mengerti.

Dulu kalau tengok cerita koboi, rasa macam hebat sangat menunggang kuda. Tapi sekarang, bila dah rasa, naik kuda itu tidaklah sebest manapun. Atau mungkin tak best sebab aku tak pandai naik kot.

Tak lama selepas berkuda, makcik-makcik dan pakcik-pakcik pegawai dah mula sakit-sakit pinggang.

En. Naza pun kata,”Tulah, nak naik kuda sangaaaattt…”

 

 Cassidy namanya.

 

Malam tadi. Ujian. 10% dari markah keseluruhan.

Aku renung kertas soalan. “Ahh..aku dah belajar benda ni tadi.” Pena sudah digenggam kemas. Tapi…ia tak mampu kugerakkan. Tak mampu kutitiskan dakwatnya buat mengisi baris-baris biru buku jawapan. Kekal ia dipenjuru atas kiri mukasurat pertama. Lama. 10 minit. 20 minit….Aku selak soalan kedua. Pun sama. Ketiga. Juga begitu.

Puas kucuba menggapai-gapai di dalam minda, berusaha keras mencari abjad-abjad dan angka-angka yang bisa aku gabungkan membentuk  persamaan algebra, yang seterusnya dapat aku gunakan untuk menyelesaikan permasalahan itu. Namun gapaianku dalam kehampaan. Abjad-abjad dan angka-angka itu cuma berputar-putar dalam rangka fikiran tanpa sebarang makna yang aku mampu terjemahkan. 

Kabur. Kosong. Yang aku mampu coretkan cuma cebisan-cebisan ingatan dari latihan yang aku telah buat. Cuma soalan terakhir soalan teori. Itu sahajalah yang aku mampu jawab dengan lengkap. Itupun entahkan betul entahkan tidak.

Dalam kayuhan basikal pulang aku muhasabah diri. Muhasabah satu, subjek sarjana tidak sama tarafnya dengan sarjanamuda. Muhasabah dua, belajar harus untuk mendapat kefahaman, bukan untuk lulus ujian! Muhasabah tiga, menginsafi dosa yang barangkali sebab Allah sedarkan aku begini.

Murid : Ustaz, apakah pendapat ustaz tentang hukum bersahabat dengan jin? 

Ustaz : Tidak boleh kita bersahabat dengan jin melainkan dengan dua jenis.

Murid : Ye ke? Jin apa tu ustaz?

Ustaz : Jins Shamsudin dan Jinbara

Dulu, ketika aku di tingkatan 4, ada seekor kucing betina yang entah kenapa dan bagaimana suka melepak di dorm asrama aku. Ketika itu dia bunting. Seorang warga dorm aku yang prihatin sediakan kotak untuk dia tidur. Dan sampai ketikanya dia pun melahirkan lah sepasukan anak-anak yang comel.

Oleh kerana bonda kucing dan anak-anaknya ini memang telah bermastautin di dorm aku, maka tiap-tiap hari aku akan menjengah ke kotak itu. Seronok tengok telatah mereka hari-hari. Kadang-kadang tanpa sedar aku akan khusyuk memperhatikan gelagat mereka lepas balik prep petang atau pun prep malam.

Cuma hari demi hari, aku tengok mata anak-anak kucing itu semacam berpenyakit. Ada semacam lendir dan nanah kuning yang menyelaputinya. Dan mereka tak dapat membuka mata mereka kerananya. Kesian aku tengok.

Hari demi hari aku tengok tiada perubahan. Masuk hari ke-4 atau ke-5, aku pun mengambil tindakan proaktif untuk membantu mereka. Aku bersihkan dan tolong bukakan mata mereka. Sangka aku selepas ini mata mereka akan dapat melihat dengan sempurna.

Tapi tidak. Hari demi hari aku tengok mata mereka cacat. Tak terbentuk dengan sempurna. Tak lama selepas itu, barulah aku tahu yang mata anak kucing memang begitu. Dia tidak akan dapat membuka matanya untuk beberapa lama dan selaput itu akan tanggal sendiri nanti.

Aku telah mengganggu perjalanan hukum alam. Meskipun niatku baik, dek kerana kejahilan, aku telah membuatkan hidup mereka jadi susah. Akhirnya memang mereka membesar dengan mata kurang sempurna.

Terfikir aku, entah berapa kali agaknya aku begitu dalam hidup ini. Aku buat sesuatu yang aku rasa betul tapi sebenarnya salah. Tindakan yang aku rasa wajar tapi sebenarnya bodoh. Ikut hati tanpa ilmu dan akal. Dan berapa orang pula yang menjadi mangsa kerana kebodohanku itu?

Benarlah bicara Pak Hamka. Kadang-kala keputusan kecil yang jawapannya cuma kita berikan ya atau tidak hari ini, boleh memberi kesan berpuluh tahun akan datang, bahkan mungkin lebih.