Dulu, ketika aku di tingkatan 4, ada seekor kucing betina yang entah kenapa dan bagaimana suka melepak di dorm asrama aku. Ketika itu dia bunting. Seorang warga dorm aku yang prihatin sediakan kotak untuk dia tidur. Dan sampai ketikanya dia pun melahirkan lah sepasukan anak-anak yang comel.

Oleh kerana bonda kucing dan anak-anaknya ini memang telah bermastautin di dorm aku, maka tiap-tiap hari aku akan menjengah ke kotak itu. Seronok tengok telatah mereka hari-hari. Kadang-kadang tanpa sedar aku akan khusyuk memperhatikan gelagat mereka lepas balik prep petang atau pun prep malam.

Cuma hari demi hari, aku tengok mata anak-anak kucing itu semacam berpenyakit. Ada semacam lendir dan nanah kuning yang menyelaputinya. Dan mereka tak dapat membuka mata mereka kerananya. Kesian aku tengok.

Hari demi hari aku tengok tiada perubahan. Masuk hari ke-4 atau ke-5, aku pun mengambil tindakan proaktif untuk membantu mereka. Aku bersihkan dan tolong bukakan mata mereka. Sangka aku selepas ini mata mereka akan dapat melihat dengan sempurna.

Tapi tidak. Hari demi hari aku tengok mata mereka cacat. Tak terbentuk dengan sempurna. Tak lama selepas itu, barulah aku tahu yang mata anak kucing memang begitu. Dia tidak akan dapat membuka matanya untuk beberapa lama dan selaput itu akan tanggal sendiri nanti.

Aku telah mengganggu perjalanan hukum alam. Meskipun niatku baik, dek kerana kejahilan, aku telah membuatkan hidup mereka jadi susah. Akhirnya memang mereka membesar dengan mata kurang sempurna.

Terfikir aku, entah berapa kali agaknya aku begitu dalam hidup ini. Aku buat sesuatu yang aku rasa betul tapi sebenarnya salah. Tindakan yang aku rasa wajar tapi sebenarnya bodoh. Ikut hati tanpa ilmu dan akal. Dan berapa orang pula yang menjadi mangsa kerana kebodohanku itu?

Benarlah bicara Pak Hamka. Kadang-kala keputusan kecil yang jawapannya cuma kita berikan ya atau tidak hari ini, boleh memberi kesan berpuluh tahun akan datang, bahkan mungkin lebih.