Malam tadi. Ujian. 10% dari markah keseluruhan.

Aku renung kertas soalan. “Ahh..aku dah belajar benda ni tadi.” Pena sudah digenggam kemas. Tapi…ia tak mampu kugerakkan. Tak mampu kutitiskan dakwatnya buat mengisi baris-baris biru buku jawapan. Kekal ia dipenjuru atas kiri mukasurat pertama. Lama. 10 minit. 20 minit….Aku selak soalan kedua. Pun sama. Ketiga. Juga begitu.

Puas kucuba menggapai-gapai di dalam minda, berusaha keras mencari abjad-abjad dan angka-angka yang bisa aku gabungkan membentuk  persamaan algebra, yang seterusnya dapat aku gunakan untuk menyelesaikan permasalahan itu. Namun gapaianku dalam kehampaan. Abjad-abjad dan angka-angka itu cuma berputar-putar dalam rangka fikiran tanpa sebarang makna yang aku mampu terjemahkan. 

Kabur. Kosong. Yang aku mampu coretkan cuma cebisan-cebisan ingatan dari latihan yang aku telah buat. Cuma soalan terakhir soalan teori. Itu sahajalah yang aku mampu jawab dengan lengkap. Itupun entahkan betul entahkan tidak.

Dalam kayuhan basikal pulang aku muhasabah diri. Muhasabah satu, subjek sarjana tidak sama tarafnya dengan sarjanamuda. Muhasabah dua, belajar harus untuk mendapat kefahaman, bukan untuk lulus ujian! Muhasabah tiga, menginsafi dosa yang barangkali sebab Allah sedarkan aku begini.