Satu teori mengatakan bahawa semakin bodoh kita ini, semakin kita rasa kita pandai. Oleh kerana banyak yang kita tidak tahu, kita rasa apa yang kita tahu itu sudah cukup banyak. Lalu tanpa sedar tergamak kita melekehkan orang lain yang barangkali ilmunya lebih hebat dari kita. Tenggelamlah kita dalam kebodohan kita itu. Lemaslah tak dapat ditolong lagi.

Tadi, dalam kuliah, satu peristiwa kecil menyedarkan aku tentang hakikat ini. Pensyarah sedang menghuraikan satu konsep yang mencetus sedikit kontroversi. Bangkit seorang pelajar mempertikaikan kesahihan penjelasan profesor itu. Dengan tenang, sang profesor memberi jawaban yang logik dan berasas. Tapi pelajar itu tidak mahu mengaku kalah. Tidak puas hati dia, membentak-bentak dia cuba menegakkan benang yang basah. Profesor diam buat tidak tahu. Dia terus membebel-bebel pada rakan di sebelahnya, memperlekehkan penjelasan pensyarah itu tadi. Walhal kalau dia memilih untuk diam sejenak dan memikirkan kata-kata profesor itu, dia akan sedar kebenarannya. Sebaliknya dia memilih untuk memperlihatkan kebodohannya biar diketahui semua warga kuliah.

Bertanya itu tidak salah, kerana itu salah satu pintu ilmu. Mempertikaikan penjelasan pensyarah juga tidak salah, asalkan didasari hujah konkrit dan berdasarkan pengetahuan. Tapi harus disertai adab, kerana dia sedang memberi ilmunya pada kita.

Jika tidak, jadilah kita orang yang meludah ke langit, jatuh tertimpa muka sendiri.