Jun 2007


Hari ini aku rasa aneh. Buat julung kalinya aku masuk tempat lumba kuda. Bukan kerana suka-suka atau mencari pengalaman baru. Bukan juga sebab nak tengok orang gila berjudi dan kuda gila berlari. Tapi sebab exam.

Exam kat tempat lumba kuda? Apa kejadahnya?

Entahlah. Aku pun macam tak percaya bila tengok jadual periksa aku. Rupanya uni aku sewa dewan di situ untuk peperiksaan. Racecourse itu pula memang kebetulan (atau sengaja?) dibina di sebelah uni. Lalu digunakanlah.

Ironiknya, peperiksaan ini juga sebenarnya satu bentuk pertaruhan. Pertaruhan harapan dan masa depan. Meneka soalan yang akan keluar bagai meneka kuda mana yang lebih laju; tak semestinya akan dapat apa yang diharapkan.

Selesai sudah 2 kertas, 1 lagi menanti. Dan research project. Oh…menyebut perkataan itu saja sudah buat aku cuak. Terbayangkan kajian aku yang terbengkalai. Dan penyeliaku yang tak akan ada sampai awal semester depan.  Aku tak mahu extend. Aku mahu selesaikan tahun ini. Aku mahu pulang menatap wajah ayah bonda, adik-adik, kawan-kawan.

Dan ya, sudah tentu aku mahu pulang bertemu pemilik tangan di bawah itu.

Advertisements

Abah aku tidak baca blog. Maunya tak, guna komputer pun jarang. Dia membesar seiring dunia typewriter dan kertas karbon. Tapi aku tetap nak ‘daddy’ket entri ini untuk dia.

Aku dan abah, kami tak banyak bercakap. Bukan tidak mesra, tapi aku rasa memang kerap anak lelaki lebih rapat dengan mak berbanding abah. Kalau di telefon, aku dan abah biasanya boleh berbual cuma 2-3 potong ayat. Lepas itu, masing-masing mati idea. Kemudian abah pas telefon pada mak.

Kalau emak kejut Subuh, selalunya aku cukup susah nak bangun. Tiga empat kali ditepuk tampar pun masih boleh berguling-guling di atas katil. Pernah dia geram sangat dia simbah aku dengan air. Tapi kalau abah, cukup dia berdiri di tepi pintu bilik dan melaung, “BANGUNNN!!!” Melompat aku dari katil.

Abah seingat aku tak pernah cakap pada anak-anaknya yang dia sayang kami. Aku rasa dia tidak tahu macamana mahu cakap. Dia sayang dalam diam. Yang tahu mak. Mak akan bocorkan rahsia. Apa yang dia buat untuk aku tanpa pengetahuan aku mak akan cerita. Doa dia untuk aku. Susah payah dia untuk aku.

Aku pun sayang dia. Sangat. Tapi akupun tidak tahu macamana mahu cakap. Aku pun sayang dalam diam.

Pada teman-teman dan sahabat yang mendoakan kami, terima kasih. Doakan kami kekal ke jinjang pelamin dan hingga ke akhir hayat.

Pada teman-teman yang baru tahu, maafkan kami andai kami tidak menghebahkan. Bukan niat untuk berahsia, cuma malas mahu kecoh. Lagipun kami tahu, ada orang yang akan kecohkan untuk kami 🙂

“Jadi, camner lunch ko dgn awek tu? Ok tak?” Aku bertanya kepada klasmet aku. Dia berbangsa Korea. Katanya agamanya Kristian Katolik. Sejak awal semester hari itu, mula kami berkenalan, dia mengadu pada aku dia bosan. Mahu mencari teman wanita buat mengisi kekosongan hari-harinya. Kerana kalau tak ada kuliah atau assignment atau projek kajian, dia buntu. Tidak tahu mahu buat apa. Lalu beberapa hari sebelum itu dia bercerita pada aku dia dapat undangan makan tengahari dengan seorang gadis sefakulti yang kami kenali, gadis Cina dari Indonesia.

“Ok. Bagus.”

“Hehe…kalau begitu, bolehlah cuba tackle lepas ni.” Aku mengusik.

Dia buat muka tak puas hati, “Emm….dia memang ok. Tapi dia tak mahu sek*s.”

Hah?! Apa? Aku tergamam. Bukanlah aku hairan sangat dengan ‘budaya’ mereka ini tapi takkan kali pertama keluar sudah cerita pasal mahukan ‘itu’?

“Baguslah. Apa salahnya kalau dia tak mahu buat benda itu? Kan ke itu tanda dia seorang gadis yang menjaga maruahnya?” Aku bertanya menguji.

“Betul. Tapi apa guna ada teman wanita jika tak boleh buat benda itu?”

“Yalah, tapi bukankah lebih berharga jika mendapatnya selepas berkahwin nanti. Dari situ kan kau dapat menilai kesetiaannya?”

“Betul,” dia mengiyakan lagi, “tapi macam mana aku nak beli sebuah kereta kalau tak diberi peluang aku pandu uji dulu?” Dia cuba beranalogi. Wah, wah wah! Logik sangatlah tu konon.

“Hei kawan, analogi kau tu tak betul. Mana boleh kau samakan kereta dengan perempuan.” Aku kata. 

Yalah kan? Kereta tak ada jiwa, perasaan. Kereta tak ada maruah. Kereta tidak ada selaput dara. Yang adapun mungkin selaput plastik bungkus seat. Kereta juga tidak akan beranakkan kereta mini kalau kau pandu uji dia.

“Ya, mungkin betul cakap kau,” katanya, “di negara aku pun masih ada gadis yang mempertahankan kegadisannya sehingga berkahwin. Aku mahu isteri yang begitu, tapi aku tidak mahu teman wanita yang begitu…”

Aku tidak dapat menahan diri dari tertawa. Hujahnya rupanya cuma mahu membenarkan apa yang dia mahu, keseronokan. Tapi tidak mahu tanggungjawab. Lalu aku membalas ringkas,

“Oklah kawan, aku faham maksud kau, tapi aku tak bersetuju dengan pendapat kau itu.” Lalu bicara kami terhenti di situ.

Sepatutnya aku tambah satu soalan lagi,

” Macamana kita nak dapat gadis yang baik jika kita tidak berusaha menjadi lelaki yang baik?”