“Jadi, camner lunch ko dgn awek tu? Ok tak?” Aku bertanya kepada klasmet aku. Dia berbangsa Korea. Katanya agamanya Kristian Katolik. Sejak awal semester hari itu, mula kami berkenalan, dia mengadu pada aku dia bosan. Mahu mencari teman wanita buat mengisi kekosongan hari-harinya. Kerana kalau tak ada kuliah atau assignment atau projek kajian, dia buntu. Tidak tahu mahu buat apa. Lalu beberapa hari sebelum itu dia bercerita pada aku dia dapat undangan makan tengahari dengan seorang gadis sefakulti yang kami kenali, gadis Cina dari Indonesia.

“Ok. Bagus.”

“Hehe…kalau begitu, bolehlah cuba tackle lepas ni.” Aku mengusik.

Dia buat muka tak puas hati, “Emm….dia memang ok. Tapi dia tak mahu sek*s.”

Hah?! Apa? Aku tergamam. Bukanlah aku hairan sangat dengan ‘budaya’ mereka ini tapi takkan kali pertama keluar sudah cerita pasal mahukan ‘itu’?

“Baguslah. Apa salahnya kalau dia tak mahu buat benda itu? Kan ke itu tanda dia seorang gadis yang menjaga maruahnya?” Aku bertanya menguji.

“Betul. Tapi apa guna ada teman wanita jika tak boleh buat benda itu?”

“Yalah, tapi bukankah lebih berharga jika mendapatnya selepas berkahwin nanti. Dari situ kan kau dapat menilai kesetiaannya?”

“Betul,” dia mengiyakan lagi, “tapi macam mana aku nak beli sebuah kereta kalau tak diberi peluang aku pandu uji dulu?” Dia cuba beranalogi. Wah, wah wah! Logik sangatlah tu konon.

“Hei kawan, analogi kau tu tak betul. Mana boleh kau samakan kereta dengan perempuan.” Aku kata. 

Yalah kan? Kereta tak ada jiwa, perasaan. Kereta tak ada maruah. Kereta tidak ada selaput dara. Yang adapun mungkin selaput plastik bungkus seat. Kereta juga tidak akan beranakkan kereta mini kalau kau pandu uji dia.

“Ya, mungkin betul cakap kau,” katanya, “di negara aku pun masih ada gadis yang mempertahankan kegadisannya sehingga berkahwin. Aku mahu isteri yang begitu, tapi aku tidak mahu teman wanita yang begitu…”

Aku tidak dapat menahan diri dari tertawa. Hujahnya rupanya cuma mahu membenarkan apa yang dia mahu, keseronokan. Tapi tidak mahu tanggungjawab. Lalu aku membalas ringkas,

“Oklah kawan, aku faham maksud kau, tapi aku tak bersetuju dengan pendapat kau itu.” Lalu bicara kami terhenti di situ.

Sepatutnya aku tambah satu soalan lagi,

” Macamana kita nak dapat gadis yang baik jika kita tidak berusaha menjadi lelaki yang baik?”