Abah aku tidak baca blog. Maunya tak, guna komputer pun jarang. Dia membesar seiring dunia typewriter dan kertas karbon. Tapi aku tetap nak ‘daddy’ket entri ini untuk dia.

Aku dan abah, kami tak banyak bercakap. Bukan tidak mesra, tapi aku rasa memang kerap anak lelaki lebih rapat dengan mak berbanding abah. Kalau di telefon, aku dan abah biasanya boleh berbual cuma 2-3 potong ayat. Lepas itu, masing-masing mati idea. Kemudian abah pas telefon pada mak.

Kalau emak kejut Subuh, selalunya aku cukup susah nak bangun. Tiga empat kali ditepuk tampar pun masih boleh berguling-guling di atas katil. Pernah dia geram sangat dia simbah aku dengan air. Tapi kalau abah, cukup dia berdiri di tepi pintu bilik dan melaung, “BANGUNNN!!!” Melompat aku dari katil.

Abah seingat aku tak pernah cakap pada anak-anaknya yang dia sayang kami. Aku rasa dia tidak tahu macamana mahu cakap. Dia sayang dalam diam. Yang tahu mak. Mak akan bocorkan rahsia. Apa yang dia buat untuk aku tanpa pengetahuan aku mak akan cerita. Doa dia untuk aku. Susah payah dia untuk aku.

Aku pun sayang dia. Sangat. Tapi akupun tidak tahu macamana mahu cakap. Aku pun sayang dalam diam.