Pada pemerhatian aku, wanita secara amnya obses dengan kecantikan. Cerewet dengan penampilan. Kawan baik di alam nyata dan alam blogku ada menulis, slogan wanita sejati ialah “Kecantikan melalui penderitaan.” Dia berkongsi derita cuba menjadi wanita sejati dengan memakai kasut tumit tinggi yang tak pernah menjadi kebiasaannya selama 26 tahun menjadi seorang perempuan.

Apakah definisi kecantikan yang sebenar? Kalau wanita di Malaysia sibuk dengan krim pemutih kulit, di sini terbalik. Di sini orang Aussie yang sudah sedia putih pula sibuk berjemur di pantai terutama di musim panas supaya kulit mereka menjadi lebih gelap atau ‘tanned’. Ironik bukan? Pengaruh media sebenarnya memainkan peranan besar dalam hal ini. Kita mudah terpengaruh dengan definisi kecantikan yang disogokkan kepada kita tanpa berfikir panjang. Kebetulan tidak lama dulu, aku menonton satu rancangan bual-bicara di Sydney ini yang membongkar penipuan majalah wanita iaitu berkenaan foto-foto model yang telah di’retouch’ menggunakan perisian komputer. Jadi wajah dan tubuh badan yang kelihatan sempurna pada majalah tersebut sebenarnya hanyalah kecantikan yang telah melalui proses transformasi digital. Contohnya boleh klik gambar di bawah (korg perlu ada Adobe Flash Player);

retouched21.jpg

Bagi aku, tidaklah salah naluri wanita untuk menjaga kecantikan itu, asalkan kena pada tempatnya dan pada keadaannya. Malah memang bagus pun. Kalau berpakaian serabai dan selekeh dan tidak matching pun tidak manis dipandang juga. Apatah lagi seorang isteri yang perlu menjaga penampilan diri di hadapan suami. Tapi usahlah sampai menanggung sengsara.  Tak perlulah berkasut tumit tinggi kalau anda memang bukan jenis sebegitu. Tak perlulah menghabiskan beribu ringgit untuk pakaian berjenama dan produk kecantikan melainkan kalau citarasa anda memang begitu dan anda mampu. Setiap wanita punya keistimewaan tersendiri dan pasti ada orang lain yang akan dapat melihat keistimewaan itu.

Ada orang berteori mengatakan bahawa wanita berusaha nampak cantik semata-mata untuk menarik perhatian lelaki? Benarkah? Entahlah aku tidak tahu. Mungkin ada perempuan yang boleh tolong jawabkan. 

Hakikatnya kita ini membawa gelaran makhluk. Bersama gelaran itu datanglah faktor usia. Diri akan menjadi tua, kulit akan berkedut, rambut akan menjadi putih, pinggang akan melebar, badan akan menjadi lemah. Ia bukan hukuman tapi ia adalah cara halus Allah nak ingatkan yang kecantikan itu bukan perhatian yang utama pada pandanganNya. Di akhir nanti, bukan itu yang jadi keutamaan. Jika sedar perkara itu, akan lebih mudahlah seseorang itu menerima dirinya seadanya dan redha dengan apa yang dia ada.