resize-wizard-1.jpg

Gold Coast here I come!

 

Updated (24/7)

Sangat seronok! Cuma itu yang dapat diungkap. Itupun sekadar kata-kata yang tak mampu menggambarkan perasaan aku dalam ertikata sebenar. 

Empat hari untuk menjelajah Brisbane dan Gold Coast bukanlah jangka masa yang cukup. Tapi aku dan teman-teman lakukanlah sekadar yang termampu. Itupun bajet peribadi sudah tersasar sedikit dari limitasi yang telah ditetapkan. Waktu mula-mula berpergian, konon-kononnya mahu menjaga bajetlah, tapi bila melihatkan cenderamata dan pakaian yang mungkin sukar untuk didapatkan di tempat lain, mulalah berbondong-bondong membeli itu dan ini. Berbaloi juga sebenarnya, bukan selalu.

Tiga dari empat hari tersebut dihabiskan di taman-taman tema; Movie World, Sea World dan Wet n Wild World. Antara 3 itu, Movie World paling menarik. Ride yang mencabar bukan untuk mereka yang lemah jantung atau darah tinggi. Antaranya rollercoaster Superman Escape yang memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 2 saat dengan tekanan 4.5 G-force, menjunam pula ke bumi hampir 90 darjah dari ketinggian 40 meter dengan tekanan -1 G-force. Untuk beberapa milisaat terasa seperti menjalani latihan angkasawan! Begitu juga Batwing Spaceshot yang mirip Spaceshot di Taman Tema Genting. Kebanyakan permainannya berkisar pada ketinggian dan kelajuan. Aku acrophobia, jadi kalau nak harapkan aku saja2 mahu cuba, mampus aku tak akan buat. Mujur aku ada kawan-kawan yang gila memberi semangat. Kadang-kadang kita takutkan sesuatu tanpa alasan munasabah, atau melebihi kadar sepatutnya. Walhal, setelah melaluinya kita mendapati rupa-rupanya ia tidaklah terlalu menakutkan seperti yang disangka.

escape_blog2.jpg batmanshot2.jpg

Seperkara lagi, kami tidak tahu di dalam taman tema itu rupanya ada musalla! Jenuhlah kami solat di tepi jalan tempat orang lalu-lalang. Usai solat seorang Pak Arab bersama isterinya menghampiri kami memberitahu dan menunjukkan  kedudukan musalla itu. Memang selesa dan bersih, terpinggir dari hingar-bingar dan hiruk-pikuk suasana. Ruangnya juga agak luas dengan partition untuk jemaah lelaki dan wanita. Terlintas juga di fikiran, membandingkan antara surau di sini dan surau di pusat membeli-belah negara hadhari sendiri.

musalla2.jpgmusalla.jpg

 

Untuk makan malam, kami jumpa sebuah restoran Melayu Malaysia di Gold Coast. Pemiliknya sangat ramah melayan kami, apatah lagi setelah mengetahui kami ini serumpun bangsa dengannya. Ramah ramah juga tapi makan tetap tak diberi diskaun hahaha.

 maharani_blog.jpg nasi-goreng.jpg

 

Aku makan nasi goreng kampung. Itu saja pun sudah $12. Kalau diconvert kepada RM, sudah RM36. Mahal laksana makan di hotel, tapi sebenarnya itu harga piawai di sini.  Di belakang kaunter bayarannya, ada gambar pemilik dengan artis seperti Anuar Zain dan Linda Onn. Rupa-rupanya restoran inilah yang dikunjungi duta dan pemenang bertuah pertandingan buka penutup tin Power Root satu ketika dulu.

Hari terakhir kami ke Brisbane, kira-kira sejam perjalanan dengan kereta dari Gold Coast. Dalam perjalanan kami terjumpa sign board ini:

tanah-merah.jpg

Kelate pulok doh! Guano nih?! 

Sisa hari terakhir percutian kami habiskan di Harbourtown, tempat membeli-belah dengan harga diskaun sehingga 60% setiap hari. Segala macam barangan ada di sini, pakaian, perabot, pinggan-mangkuk, keperluan rumah dan 1001 benda lagi. Kaum Hawa mesti teruja kalau berjumpa tempat-tempat sebegini. Aku lebih banyak ‘membeli-belah tingkap’ saja. Tamat percutian, masing-masing pulang dengan hati yang riang dan poket yang berlubang.

Kini sedang sabar menanti minggu hadapan. Mahu bermain salji di Snowy Mountain pula🙂 Bukan selalu boleh berjalan-jalan ke negara orang. Harus merebut peluang yang ada ini.