Datuk JPJ cadangkan pasang kamera automatik kat tempat yang kerap berlaku kemalangan. Logikkah? Itu penyelesaian masalahkah? Aku kata tidak.

Cadangannya itu cadangan reaktif. Tunggu sesuatu jadi dulu baru bertindak. Tunggu ada orang mati dulu baru nak buat sesuatu. Masalah takkan selesai. Pemandu cuai takkan terhukum selagi dia sendiri tak eksiden. Kamera itu tak ada fungsi kalau sekadar terpacak di tempat kerap kemalangan kerana hakikatnya kemalangan boleh berlaku di mana-mana. Takkan nak pasang kamera di setiap batang jalan raya yang ada? Dan takkanlah Datuk tak arif lagi tentang taktik simple semua pemandu, lalu kawasan ada kamera bawaklah slow, nanti dah lepas laju balik. Budak kecik pun tahu.

Untuk itu aku ada dua usul luar kotak. Pertama kita tingkatkan denda dan hukuman undang-undang secara drastik. Pandu laju denda minimum RM 5000 atau penjara dan gantung lesen misalnya . Kesalahan yang lebih berat hukumannya pun lebih berat. Jadi orang akan fikir dua kali untuk memandu cuai.

Kedua, naikkan gaji semua polis pangkat Konstabel sampai Inspektor sebanyak 100%. Biar gaji mereka semua setaraf gaji lepasan ijazah. Kenapa? Supaya mereka lebih berinsentif untuk menjalankan tugas dengan dedikasi dan disiplin. Siapa-siapa pun akan rendah motivasinya kalau terpaksa bekerja teruk untuk gaji yang ciput. Memanglah pekerjaan polis itu sesuatu yang mulia dan aku tahu polis-polis kita ramai yang menjunjung tinggi amanah yang diberikan. Tapi tak semua. Ramai yang kurang bersemangat untuk menjalankan tugas sebaiknya bilamana gaji masih kecil dengan kos sara hidup masakini yang semakin meningkat dan ditambah pula dengan risiko kerja yang tinggi. Dan ini juga mendedahkan mereka pada unsur rasuah. Jalan pintas untuk mencari duit tambahan adalah dengan meminta imbuhan untuk membantu pesalah trafik mengelakkan dari disaman.

Aku teringat cerita seorang kawan aku yang ditahan polis kerana kesalahan trafik. “Ni kalau tak nak kena saman ni, adik pahamlah kan?” Polis tu kata. Kawan aku hulurkanlah beberapa keping not kertas dan terlepaslah dia dari disaman. Tapi sebelum dia pergi, polis tu kata lagi, “Mintak halal ye dik.”

Mintak halal pun kan rasuah juga tu?…

Kalau gaji polis naik, taraf hidup mereka juga akan meningkat. Bila hidup dah agak selesa, mereka akan lebih tegar melaksanakan undang-undang dan menghukum pesalah trafik sewajarnya. Dan agak-agaklah kan, kalau hidup diorang dah senang, bila ada pemandu cuai yang ditahan tawar rasuah kat diorang, diorang nak terima tak?