“Aku mahu kau tahu Naufal, sebenarnya selama ini aku tunggu kau” ujar Maisarah. Dia sudah tak mampu menahan lagi perasaannya. Biarlah, hari ini dia leraikan segalanya. Dia tak mahu memendam lara lagi. “Dari MRSM kita berkawan, sampailah kita hampir grad sekarang ini. Tapi aku sudah renyah menanti buah yang takkan gugur. Makin lama aku tunggu, makin aku terasa yang cuma aku seorang menyimpan perasaan ini. Walhal, kau cuma menganggap aku kawan biasa.”

“Aku ada cerita tentang Halim kan, teman sekuliah aku tu? Minggu lepas dia approach aku. Dan aku dah buat keputusan untuk terima dia. Dia baik, dan aku akan cuba belajar untuk menyayangi dia.” Dipandangnya sekilas wajah Naufal yang tunduk diam tanpa ekspresi.

Bisu.

“Tahniah” Naufal yang sedari tadi menyepi akhirnya berbicara. “Aku minta maaf kalau aku buat kau berperasaan begitu. Bukan niat aku. Aku doakan kau dengan dia bahagia hingga akhir hayat. Lepas ini aku harap kita tetap dapat berkawan macam sebelum ini, walaupun aku tahu keadaan mungkin sudah tidak sama.”

Dan Naufal berlalu pergi.

Maisarah tidak tahu dalam poket seluar Naufal hari itu ada surat. Di dalamnya terkandung bait-bait cinta. Luahan perasaan Naufal untuk Maisarah. Yang dipendam sekian lama. Sejak MRSM. Yang kini sudah renyuk. Serenyuk hatinya.

Dan Naufal tidak tahu sebenarnya Maisarah bohong. Dia masih mengharap. Kalau Naufal juga ada perasaan padanya dan mengakuinya hari ini, dia tidak akan terima Halim. Kerana dalam hatinya cuma ada dia.