Melayu selalu dikaitkan dengan sifat tidak menepati masa. Kalau berjanji mahu berjumpa jam 8, biasanya paling cepat pun 8.15. Majlis kalau dalam aturcara program mulanya jam 9, selalunya akan bermula paling awal jam 9.30. Mesyuarat, khususnya kakitangan kerajaan pun begitu. Kronik sungguh penyakit ini. Sampaikan ada ketua ataupun penganjur, kalau program dirancang bermula jam 9 akan ditulis dalam tentatif bermula jam 8.30.

Kalau nak tengok orang Melayu menepati masa, Ramadhanlah waktunya. Itupun bukan sepanjang masa. Dua kali dalam sehari. Pertama, waktu berbuka dan kedua waktu imsak. Yang kedua ini pun belum tentu. Tapi yang pertama itu sudah pasti. Kalau waktu berbuka jam 7 malam, pukul 6.55 sudah siap-sedia dengan makanan tersaji di depan mata. Tepat jam 7 aje, doa pun dibaca dan makanan pun terus dijamah tanpa berlengah.

Melayu sangat berkapabiliti menepati masa sebenarnya.

Macam tak terasa aje dah seminggu berpuasa di perantauan. So far, semuanya ok. Cuma takde pasar Ramadhan. Jadi kalau di rumah, terpaksalah masak sendiri. Aku rindukan hidangan air tangan bonda. Air tangan aku ok la tapi tak sedap sangat. Hehe. Tapi untuk Raya, aku dah minta bonda kirimkan tat nenas kegemaran aku dari Malaysia. Mintak-mintak tak jadi serbuk by the time sampai ke tangan aku.

Selamat berpuasa semua!