Satu kisah di bulan Ramadhan, lebih satu dekad lalu di sebuah sekolah berasrama penuh.

Sekumpulan pelajar lelaki sedang bersiap untuk bersahur. Berpaket-paket maggi perisa kari dicampak ke dalam baldi dan kemudian disiram dengan air panas, dari cerek elektrik yang dicilok dari dewan makan. Seorang menyiapkan minuman, kopi o cap masjid yang juga dipau dari lokasi yang sama. Masing-masing kelam-kabut kerana waktu Subuh sudah hampir.

Maggi yang sudah masak kemudian dibahagi sama rata. Yang tak ada tupperware, cedok saja dari baldi dengan gayung mandi. Ahh..hidup di asrama memang begitu, melatih kau jadi kreatif dan meutilisasikan apa yang kau ada untuk menyelesaikan masalah. Air kopi dari jag plastik dihirup bergilir.

Sedang asyik menikmati santapan, tiba-tiba terdengar sayup-sayup suara azan di kejauhan. Masing-masing terhenti dan tergamam. Ada yang gulungan maggi masih berjuraian keluar dari mulut tak sempat disedut. Ada yang air kopi dikemam, serba salah mahu ditelan atau tidak.

Mujurlah, dalam kekalutan dan kewas-wasan suasana, seorang yang boleh dikira paling alim dalam jemaah itu mengeluarkan fatwa.

“Takpe. Itu azan kariah lain tu. Kat sini belum lagi.”

Lalu terungkailah segala keraguan dan teruslah mereka menelan dan meneguk dengan rakus tanpa banyak soal lagi.

Hai….entah sah entah tidaklah puasa budak-budak itu waktu itu.