Hati


Aku sudah kembali. Sebenarnya jasad fizikku sudah menjejakkan kaki ke Malaysia lebih sebulan yang lalu. Tubuhku sudah kembali tegal merasai tiupan angin Malaysia yang hari-harinya kering dan hangat. Lidahku sudah kembali asyik menikmati teh tarik dan roti canai hasil tangan peniaga India Muslim yang lengannya berbulu lebat bergulung-gulung, dan badannya yang berpeluh masin berjurai-jurai. Struktur mekanik motor kaki dan tanganku sudah kembali mahir memandu di lorong-lorong jalanraya Malaysia yang dipenuhi ramai pemandu-pemandu yang cekap tapi kurang adab.

Hati…..? Ah hati. Hatiku rasanya tak pernah meninggalkan bumi Semenanjung ini, dari waktu aku pergi dulu sampai saat ini, separuh tertinggal dalam belaian lembut usapan tangan bonda dan separuh lagi tersimpan antara redup mata dan senyuman manis sang kekasih.

Sudah hampir sebulan juga aku mula mengajar. Anak-anak muridku kali ini adalah mahasiswa tahun 1, yang harapanku tiga tahun lagi akan lulus cemerlang sebagai graduan yang diburu majikan. Harapan yang cuba aku titipkan secara halus dalam pengajaranku tentang hukum Kirchoff, aliran arus ulang alik dan teorem litar magnet. Harapan yang selalunya keluar dari mulutku dalam bentuk untaian kata-kata nasihat, namun aku rasa selalu juga terurai dek angin lalu, sebelum sempat sampai ke telinga sebal mereka di hadapanku yang tidur berdengkur hingga meleleh air liur.

Untuk menjadikan kesibukan sebagai alasan untuk tidak mengupdet blog aku rasa adalah kurang wajar, malah tidak tepat sama sekali. Kerana di mana pun kita berada di dunia nyata, asalkan punya akses internet, di alam siber kita tetap di tempat yang sama. Emel yang dikirim kepada kita akan sampai ke alamat yang sama yang kita pilih lama dahulu, meskipun tubuh kita telah mengembara serata dunia. Begitu juga, orang yang ingin mencari dan mengetahui tentang cerita kita, pendapat kita, celoteh kita akan mencarinya di URL blog yang sama.

Bukan juga kerana tidak ada cerita, kerana setiap hari yang kita lalui adalah cerita bagi kita, membentuk perenggan-perenggan kecil yang akhirnya nanti akan dibukukan menjadi sebuah novel kehidupan. Novel yang mengasyikkan, membosankan, mendebarkan, menyeramkan, menyakitkan, menguatkan, melemahkan, menggembirakan, menyedihkan, membuai, membahagia, menyayat…..mencetus seribu satu macam rasa bagi kita, meskipun ia mungkin tidak menarik langsung bila dibaca orang.

Barangkali alasan paling konkrit adalah kerana aku, buat suatu waktu, tiada semangat untuk berblog. Dalam apapun yang kita lakukan, bahkan perkara yang kita minati sekalipun, akan ada masanya kita merasa bosan menghadapnya. Kita perlukan sedikit masa, menjauhkan diri agar dapat membina minat kita kembali. Seperti cinta, adakala kita perlu berjauhan seketika, agar kita tahu erti rindu dan tahu menghargai dia yang kita ada. Sebab khuatir bila terlalu lama kita menghadap benda yang kita cinta, semakin kita memagnifikasi kelemahan dan kekurangannya dan semakin kita lupa pula pada keistimewaannya, perkara yang mula-mula membuatkan kita jatuh cinta padanya dahulu.

Advertisements

11.18 malam. Baring. Mata kebil-kebil. Bangun. Duduk di meja studi. Main Spider Solitaire. Kalah. Dan kalah lagi. Dan lagi. Tutup game. Baring.

Toleh kanan. Toleh kiri. Balik-balikkan badan. Tutup lampu. Pejam mata. Buka mata. Buka lampu semula.

Malam ini terasa lebih kosong dari biasa.

Minggu lepas aku cuti seminggu. Mid-sem break. Satu peluang yang baik untuk aku catch-up kerja-kerja yang tertangguh. Revise benda-benda yang dah dipelajari sebagai preparation untuk exam. Siapkan tesis.

But instead of doing all that, I spent the whole week doing practically nothing. Tidur, surf internet, tengok movie, main spider solitaire. Wasted my whole week! Dem!

Hari ni dah start kuliah balik barulah terkial-kial nak siapkan semua. Pathetic.

Supervisor hamba telah mengkhabarkan kepada hamba dia sudah mahu tengok table of contents dan draf outline tesis Selasa depan. Kalau boleh dengan senarai bibliografi lengkap. Banyak bahan rujukan yang perlu dibaca, disusun, diterjemah. Data-data perlu difahamkan, disimpulkan dan diolah. Plagiarisme bukanlah satu opsyen.

Risau. Tapi mudah-mudahan semuanya akan ok.

Updated 15/8

Alhamdulillah, so far so good. Supervisor kata tesis outline hamba sudah ok, cuma ada perubahan minor yang dia mahu hamba buat. Minggu depan dia mahu hamba persembahkan pula kesimpulan dan hujahan hasil analisis data hamba. Satu lagi tugasan mencabar menanti.

Lewat malam. Seorang diri di meja studi. Mendengar lagu Ada Cinta nyanyian Acha Septriasa ft Irwansyah.

Entah kenapa alunan gitar akustik dan lirik melankoliknya tiba-tiba buat hati aku rasa teramat sunyi.

Rindu sangat mungkin.

Kesinambungan dari Luluh 

Luluh sudah ada pengganti. Cepat betul. Tapi pria sepertinya tidaklah aku hairankan sangat. Dia kumbang yang banyak akses untuk bertemu bunga-bungaan yang ada di Tanah Melayu sana. Cuma dulu dia sengaja memilih menjadi kumbang yang monogamus dari menjadi arnab (baca:playboy) yang suka melompat ke sana-sini.

Ada orang kalau ditinggalkan, merananya bertahun-tahun. Pintu hatinya mungkin ditutup untuk rekonstruksi. Cuba membaiki siling jiwa yang kopak dan tiang seri kasih yang rosak. Gambar-gambar silam ditatap saban hari. Kiriman email2 dan kad cinta lama dibaca berulang. Tapi Luluh tidak. Bukan tidak menderita, malah untuk seketika dia memang hilang arah dan punca bila sumber inspirasinya pergi meninggalkannya. Tapi rajuknya tidak lama. Dia memilih untuk bangkit dari kekecewaan dan mengeluarkan aura keterunaannya yang dipendam sekian lama atas nama kesetiaan.
 

luluh (12/7/2007 11:02:25 AM): salam bro
el-biru (12/7/2007 11:02:32 AM): salam. watsup?
luluh (12/7/2007 11:04:08 AM): hehe…duniaku penuh dgn bunga2an la bro
el-biru (12/7/2007 11:04:35 AM): maksudnya?
luluh (12/7/2007 11:04:59 AM): i’m in love bro..
el-biru (12/7/2007 11:05:13 AM): wah…bagus bagus
el-biru (12/7/2007 11:05:17 AM): tapi dgn sapa?
luluh (12/7/2007 11:20:44 AM): hehe
luluh (12/7/2007 11:20:47 AM): kwn baik aku
luluh (12/7/2007 11:20:50 AM): dh 9 thn kenal bro
luluh (12/7/2007 11:20:58 AM): sama lama aku kenal dgn ex aku dulu
luluh (12/7/2007 11:21:01 AM): alhamdulillah
luluh (12/7/2007 11:21:10 AM): aku harap kali ni berkekalan
luluh (12/7/2007 11:21:14 AM): sbb aku dh kaji baik buruknye
luluh (12/7/2007 11:21:17 AM): latar belakang, family dia, peribadi dia, agama dia
luluh (12/7/2007 11:21:25 AM): insya ALLAH bro
luluh (12/7/2007 11:21:30 AM): aku harap ALLAH permudahkn urusan aku
el-biru (12/7/2007 11:27:50 AM): cmne kenal?
luluh (12/7/2007 11:28:06 AM): aku kenal mase aku form 4 lg
luluh (12/7/2007 11:28:14 AM): tp mase tu xapproach dier
luluh (12/7/2007 11:28:25 AM): sbb dia pn dh berkwn time tu
luluh (12/7/2007 11:28:28 AM): aku lak ngn ex aku ni
luluh (12/7/2007 11:28:31 AM): so skrg ni dedua single
luluh (12/7/2007 11:28:35 AM): saje cuba2 line
luluh (12/7/2007 11:28:40 AM): alhamdulillah berbalas

Alhamdulillah. Mudah-mudahan kali ini kau bertemu yang lebih baik.

luluh (12/7/2007 11:57:51 AM): bro..
luluh (12/7/2007 11:57:56 AM): nk dgr 1 cite lain plak x?
el-biru (12/7/2007 11:58:02 AM): bleh je. pe dia?
luluh (12/7/2007 11:58:15 AM): baru2 ni ex aku call
luluh (12/7/2007 11:58:20 AM): aku pn bertanya
luluh (12/7/2007 11:58:26 AM): ape kabar bf baru?
luluh (12/7/2007 11:58:32 AM): dia ckp dh break
luluh (12/7/2007 11:59:30 AM): aku tnye
luluh (12/7/2007 11:59:31 AM): aihh skjp nye? nape break?
luluh (12/7/2007 11:59:37 AM): dia kate..
luluh (12/7/2007 11:59:46 AM): laki tu tipu dia..laki tu dh ade gf since diorg f5
luluh (12/7/2007 11:59:58 AM): n gf mamat tu bg topup kt mamat tu..tp mamat tu call ex aku
luluh (12/7/2007 12:00:06 PM): pstu one day gf mamat tu call ex aku
luluh (12/7/2007 12:00:14 PM): mintak diorg putuskn hubungan tu….

Berita itu buat aku terus jadi sedih. Marah aku yang dulunya meluap pada mantan kekasih Luluh terus terpadam bagaikan api ditimbus salji. Simpati pula melihat dia dipermainkan sekejam itu. Sungguh tak patut mamat itu buat begitu.

Tapi dalam hidup ini, ubat yang paling pahit selalunya paling mujarab kan?

Abah aku tidak baca blog. Maunya tak, guna komputer pun jarang. Dia membesar seiring dunia typewriter dan kertas karbon. Tapi aku tetap nak ‘daddy’ket entri ini untuk dia.

Aku dan abah, kami tak banyak bercakap. Bukan tidak mesra, tapi aku rasa memang kerap anak lelaki lebih rapat dengan mak berbanding abah. Kalau di telefon, aku dan abah biasanya boleh berbual cuma 2-3 potong ayat. Lepas itu, masing-masing mati idea. Kemudian abah pas telefon pada mak.

Kalau emak kejut Subuh, selalunya aku cukup susah nak bangun. Tiga empat kali ditepuk tampar pun masih boleh berguling-guling di atas katil. Pernah dia geram sangat dia simbah aku dengan air. Tapi kalau abah, cukup dia berdiri di tepi pintu bilik dan melaung, “BANGUNNN!!!” Melompat aku dari katil.

Abah seingat aku tak pernah cakap pada anak-anaknya yang dia sayang kami. Aku rasa dia tidak tahu macamana mahu cakap. Dia sayang dalam diam. Yang tahu mak. Mak akan bocorkan rahsia. Apa yang dia buat untuk aku tanpa pengetahuan aku mak akan cerita. Doa dia untuk aku. Susah payah dia untuk aku.

Aku pun sayang dia. Sangat. Tapi akupun tidak tahu macamana mahu cakap. Aku pun sayang dalam diam.

Laman Berikutnya »